Setelah pulang dari menghantar Ilyas ke sekolahnya pagi tadi, aku sempat melayari FB. Mata tertarik dengan satu perkongsian kisah seorang wanita Muslim (yang aku kira bukan di Malaysia). Sejujurnya, aku bukan tertarik dengan kisahnya, tetapi aku tertarik dengan satu komentar dari salah seorang pembaca. Seorang pemuda, dari Malaysia.
Serba ringkas, kisah wanita tadi sedang makan di sebuah restoren. Tidak jauh dari mejanya, ada satu keluarga kecil dan mereka bukan Muslim, seorang ayah dan dua anak perempuan. Masih kecil anak-anak itu dan faham-faham sajalah, anak-anak kecil dengan mulut becok dan tidak henti-henti bertanyakan MENGAPA itu dan MENGAPA ini.. Anak-anak ini terlihat wanita Muslim ini dan terus bertanya "Ayah, mengapa wanita itu berpakaian sebegitu?". Wanita Muslim itu berhijab rupa-rupanya. Respon si ayah, "Di dunia ini ada banyak agama, budaya dan bahasa. Kita patut belajar semua itu".
Pada wanita Muslim itu, jawapan si ayah sangat diplomasi dan dapat dilihat si ayah cuba mengajar anak-anaknya supaya tidak bersikap perkauman.
Berbalik kepada komentar yang menarik perhatianku tadi. Pemuda tersebut mengatakan, di Malaysia, semasa dia belum pun menjejakkan kaki ke sekolah rendah, hanya ada satu sahaja pra-sekolah yang berteraskan Islam, iaitu PASTI. Cuma sejak akhir-akhir ini sahaja lebih banyak pra-sekolah yang Islamik tumbuh bak cendawan selepas hujan. Menurutnya, ada kajian mengatakan disebabkan ramai ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke PASTI, anak-anak ini tidak dapat bercampur dengan anak-anak dari bangsa atau agama lain. Apa sebenarnya maksud saudara ini ye?
Hmmmm.... aku kurang setuju, dan ramai lagi kurang bersetuju dengan pemuda ini. Aku dahulu hanya bersekolah di kampung. Arwah Bapak, hantar aku belajar di tadika KEMAS. Dan disebabkan di kampungku boleh dikatakan 100% orang Melayu, jadi sejak di tadika hinggalah tamat sekolah rendah, aku tidak pernah berkawan dengan anak-anak dari bangsa atau agama lain. Masuk sekolah menengah, aku bersekolah di sekolah agama, dan berasrama. Tiga tahun aku di sana (akan ku ceritakan nanti mengapa aku hanya belajar tiga tahun sahaja di sekolah itu walaupun keputusan PMR aku sangat cemerlang), pun aku tidak punya rakan-rakan dari bangsa/agama lain di sekolah. Hmmm.. paling "lain" hanyalah kerana seorang seniorku, berdarah kacukan. Sangat menonjol, yelaa, anak mat saleh kat tengah-tengah lautan anak-anak melayu totok kan? Hehehe.. Maaf bang, bukan setakat nama abang pun saya tak ingat.
Hanyalah bila aku bertukar ke sekolah harian biasa, aku dapat berkawan dengan anak-anak dari bangsa/agama lain. Aku masih ingat nama-nama mereka. Yong Lee Fun, seorang gadis Cina yang berkawan baik dengan seorang gadis India (peminat tegar Andy Lau) bernama Mogana. Mereka satu kelas dengan ku. Oh, seorang lagi gadis tiong hua, Teo Ai Nee. Kaligrafi cinanya sangat cantik dan mengagumkan, tetapi sedikit lemah dalam matapelajaran Bahasa Melayu.
Aku juga berkawan baik dengan seorang pemuda Cina dari kelas sebelah. Vincent, nama keluarga aku dah lupa, Chan kalau tidak silap. Kami agak rapat dan selalu bersembang di koridor ketika waktu rehat.
Apa yang aku cuba sampaikan ialah, di mana kita belajar, bukan penentu sama ada kita boleh bergaul dan berinteraksi dengan orang lain yang bukan seagama dan sebangsa. Secara jujur, bila aku sudah mula bekerja, aku lebih mudah rapat dengan orang Cina. Sepanjang hampir 13 tahun aku berkhidmat di syarikat penerbangan, hanya aku seorang Melayu yang berada di kaunter tiket. Selebihnya, Cina atau India. Kalau ikut logik/kajian pemuda tadi, mana mungkin aku mampu berinteraksi atau lebih extreme lagi BERKAWAN RAPAT dengan orang yang bukan sebangsa? Aku rasa, di mana aku belajar dahulu, bukan sebab musabab aku tidak boleh bergaul dengan mereka.
Suatu waktu dahulu, Bapak berniaga. Kedai runcit. Kedai Bapak memang menjadi tumpuan jiran-jiranku. Yelah, dahulu, bukan senang untuk ke pekan. Jadi, kedai runcit Bapaklah tempat mereka mendapat bekalan makanan dan sebagainya. Siapa pembekal Bapak? Kebanyakannya orang Cina. Di pekan, ramai pekedai Cina yang mengenali Bapak. Dan Bapak boleh berbahasa Cina (walaupun beberapa perkataan) dengan mereka. Mereka sangat rapat dan saling hormat-menghormati.
Jadi, apa kena-mengena pra-sekolah Islamik dengan perkauman? Aku rasa, yang penting ibubapa perlu tahu memainkan peranan mereka dalam menangani isu perkauman. Sekolah tidak boleh/patut disalahkan 100%. Noktah.